Friday, April 19, 2013

Travelog Hijrahku: Mencari Cahaya Ilahi II

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


Pengalaman Mematangkan Diri

Saat aku mula melangkah masuk ke universiti, aku sudah mula menanam azam untuk menjadi seorang pelajar yang soleh. Dalam azamku itu, aku ingin selalu ke masjid, berkawan dengan kawan-kawan yang sering mengajak kearah kebaikan, menjaga hubunganku dengan ALLAH dan belajar bersungguh-sungguh.

Pada mulanya, semuanya berjalan dengan lancar dan baik. Aku sering ke masjid, rajin ke majlis ilmu mendengar ceramah, tazkirah dan penuh dalam beribadah kepada ALLAH.

Namun, lama-kelamaan keghairahanku, hilang sedikit demi sedikit, hinggalah suatu hari aku tidak merasa ghairah lagi dalam beribadah kepada ALLAH.

Ibadahku mula retak, yang lebih memalukan apabila solat lima waktuku tidak mencukupi sehari semalam. Kadangkala aku beralasan, akibat sibuk dengan kuliah dan tutorial, aku tinggalkan begitu sahaja waktu solat Zohor dan Asar pergi bersama-sama yang waktu yang telah aku rugikan. Apatah lagi Subuh, yang sememangnya susah untukku bangkit menunaikannya.

Kehidupanku mulai penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tetapi semuanya bagai terlepas pandang. Ia bagaikan bala sedang menimpa diriku yang datangnya dari ALLAH yang cuba mengingatkanku kembali kepadaNya, tetapi aku masih lagi tidak lagi sedarkan diri, mengakui yang diriku dalam keadaan baik sahaja, walhal hatiku sudah mulai nazak dan akan mati. Aku sudah seperti merasakan keseronokan apabila tidak beribadah kepada ALLAH.

ALLAH SWT berfirman,

“Ia iblis berkata, “Tuhanku, oleh karena Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang terpilih diantara mereka.”” [QS Al-Hijr, 15:39-40]

Ialah, bagaimana tidak seronok, aku tidak perlu risaukan lagi penatku untuk ke masjid solat berjemaah, tidak risaukan lagi masa-masaku menonton wayang saat azan mula berkumandang untuk solat diawal waktu. 

Bahkan yang lebih seronok, aku tidak lagi buang masa untuk pergi ke majlis ilmu yang berjam-jam lamanya, hanya untuk mendengar peringatan yang berulang-ulang kali dan yang paling seronok aku tidak lagi perlu bersusah payah membaca Al-Quran, lagipun aku masih merangkak-rangkak dalam membaca Al-Quran.

Begitulah kehidupanku jahiliahku sewaktu, di universiti, aku terus dan terus dibuai mimpi indah mengejar keseronokan duniawi dalam kematian hatiku.

Aku masih lagi tidak sedarkan diri bahawa syaitan sedang mengaburi mataku, dengan aku memandang baik perbuatanku yang buruk itu.

ALLAH SWT berfirman,

Sungguh setan itu musuh bagimu,  maka perlakukanlah ia seperti musuh, karena sesungguhnya setan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” [QS Fatir, 35:6]

Aku tahu bahawa syaitan itu adalah musuhku, walaupun dalam keadaan aku masih tidak sedar, aku sangat akui bahawa syaitan adalah musuh utamaku, tetapi sayangnya aku tidak sedar yang aku telah mengikuti jejak langkah musuhku. Astagfirullah hal azim.

ALLAH SWT berfirman,

“Sebagian diberiNya petunjuk dan sebagian lagi sepantasnya menjadi sesat. Mereka menjadikan setan-setan sebagai pelindung selain ALLAH. Mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk” [QS Al-A’raf 7:30]

Kehidupanku berlalu begitu sahaja, tanpaku sedari aku telah berada di tahun kedua dalam pengajianku di universiti, aku mulai perasan yang keputusan purata nilai gred semester atau dengan bahasa sinonimnya pointer, semakin merosot semester demi semester, hinggalah aku mendapat pointer dibawah 2.00 pada semester dua tahun kedua pengajianku.

Pada saat itu, aku amat kecewa dengan diriku, aku tertanya-tanya kenapa pointerku pada semester itu, berada pada bawah nilai 2.00, aku mula putus harapan kerana sia-sia sahaja usahaku belajar. Walaupun, aku sosial berlebihan pada masa itu, aku tetap belajar membuat nota dan sebagainya, tetapi ia bagaikan tiada keberkatan.

Pada saat itu, mataku tidak berhenti mengeluarkan air mata akibat kekecewaan melihat pointerku yang begitu mengecewakan, kerana pointerku juga bakal mengecewakan Abahku, kerana Abahku mengharapkan aku untuk memperbaiki kehidupan kami sekeluarga, sebagai anak pertama Abahku percaya kepadaku.

Tetapi dengan pointer yang begitu, bagaimana aku mahu melunaskan kepercayaan Abahku terhadapku. Aku mula terfikir, aku bakal susah untuk mendapatkan peluang pekerjaan apabila aku sudah bergraduasi nanti, kerana kebanyakan majikan tidak mahukan pekerja yang mempunyai pointer yang rendah.

Tiba-tiba sedang dalam tangisanku, bercelaru dengan berbagai-bagai musibah yang bakal menimpa, aku terdengar satu suara yang menyebut namaku, aku sangka aku sedang bermimpi, rupanya hatiku yang sudah lama mati, sepertinya seakan-akan mahu meruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Azman, bangkitlah, kembalilah kepangkal jalan, carilah ALLAH supaya hidupmu kembali bahagia”

Aku terkesima seketika, bagaikan kaku kekejangan. Aku mula teringat kembali zaman awal aku masuk ke universiti, lebih-lebih lagi teringat kembali akan azam yang aku pernah senaraikan sewaktu aku mula-mula masuk ke universiti. Aku beristigfar,

“Ya ALLAH, ampunilah daku Ya ALLAH, hambaMu telah begitu lama melupakanmu, hampir sahaja aku berputus asa terhadap rahmatMu Ya ALLAH, terima kasih atas hidayahmu Ya ALLAH”

Alhamdulillah, aku kembali sedar, kegairahan yang dulu sepertinya kembali semula, seperti askar-askar yang ghairah akan kemenangan dalam peperangan. Aku mula mengelap air mataku, bangkit dari tempat dudukku, mula mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat taubat.

Dalam solat sunatku, aku kembali menangis teresak-esak bersyukur kepada ALLAH, kerana aku masih diberi hidayah oleh ALLAH, untuk aku lakukan anjakan paradikma dan terus istiqamah dalam menuju bahtera meniti syurga Ilahi yang begitu indah.

Walaupun ujianku adalah dengan mendapat pointer yang teruk, akan tetapi aku bersyukur yang teramat sangat kepada ALLAH, kerana aku masih diuji, untukku kembali ingat kepadaNya.

Pengalamanku benar-benar membuatkan aku merasa diriku begitu berharga, akanku simpan pengalaman jahiliahku, menjadi pedoman dan pengajaran buat diriku. Begitulah Maha Hebatnya ALLAH, menurunkan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

ALLAH SWT berfirman,

Barang siapa dikehendaki ALLAH akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendakiNya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah ALLAH menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman” [QS Al-An’am, 6:125]

Semenjak dari itu, Alhamdulillah aku terus istiqamah dalam beribadah, aku juga mula merasakan keberkatan dalam pembelajaranku, terima kasih ALLAH, itulah ungkapan yang sering aku ucapkan, apabila teringat zaman jahiliahku. Akan tetapi aku takut, jika aku akan kembali semula kezaman jahiliahku, oleh itu, aku sering berdoa kepada ALLAH selepas solatku,

“Ya ALLAH, Engkaulah Tuhan pemberi rahmat sekelian alam, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, Engkaulah Tuhanku, aku ini hambaMu, oleh itu kukuhkanlah imanku, tetapkanlah aku dalam jalan yang telah engkau berikan hidayah kepadaku, aku tidak lagi mahu kembali seperti dulu, Ya ALLAH bantulah aku dalam menjaga hubunganku denganmu, kepadaMu lah aku berserah”

Sehinggalah pada suatu hari, dalam aku bersendiri menjaga imanku, aku bertemu seorang sahabat yang soleh, yang aku yakin dia boleh membantu mengingatkanku lebih dekat dengan ALLAH. 

Aku bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH, kerana pertemukan aku dengan Raziman, untukku lebih dekat dengan ALLAH. Begitu Maha Hebat dan luasnya rahmat ALLAH SWT, mempertemukan aku dengan seorang sahabat yang soleh dalam keadaanku baru mendapat hidayah. Begitulah ajaibnya doa seorang hamba kepada Tuhannya.

Maka bermulalah cahaya tarbiyyah dalam hidupku.

WALLAHu A'lam

Bakal bersambung, InsyaALLAH. 

… ingin tahu apa yang berlaku pada Azman setelah dia berjaya menempatkan dirinya ke universiti? InsyaALLAH, nantikan episod seterusnya.
07:25 | Apr 19, 2013
Kolej AB, Universiti Malaysia Sabah | Malaysia
- Ikhlas Senyuman kerana ALLAH -

No comments:

Post a Comment

Komen dan kritikan membina amat dialu-alukan