Tuesday, April 16, 2013

Keep Your Jealousy

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaanNya yang tidak pernah lekang untuk hamba-hambaNya, dapat kita hidup dengan sihat walafiat hendakNya, di atas muka bumi ciptaanNya.

InshaALLAH, tajuk artikel saya pada kali ini adalah dalam bahasa Inggeris, yang berbunyi “Keep Your Jealousy”. Pasti tajuk artikel saya pada kali ini membuatkan anda tertanya-tanya kenapa keep your jealousy? Kenapa kita perlu simpan kecemburuan kita? Bukankah menyimpan perasaan cemburu bakal menyakitkan hati?

InshaALLAH, para pembaca yang dikasihi,

Berdasarkan tajuk artikel saya yang juga membawa maksud simpanlah kecemburuan anda, saya tidak memaksudkan kecemburuan cinta, cuba saya perincikan rasa cemburu ini adalah cemburu terhadap kejayaan yang dikecapi oleh orang lain, sebagai contoh adalah cemburu melihat rakan sekerja yang dinaikkan pangkat.

Akan saya cuba sampaikan sebaik mungkin, bagaimana mahu menukar perasaan cemburu yang hangat membara bertukar menjadi batu loncatan semangat, untuk menuju kejayaan yang hakiki selaras dengan berpandukan jalan yang lurus dan diredhani olehNya, inshaALLAH.
Para pembaca yang dikasihi,

Dua hari yang lepas, adik saya menghantar pesanan ringkas kepada saya, yang berbunyi:

Abang, semalam kami menziarahi Mak Long dirumah barunya, besar rumah baru dia, cemburu pula adik melihatnya.

Balas saya dengan cuba memberi kata semangat, “InshaALLAH adik, keep your jealousy, take it as your challenge, find great opportunity, make it excellent, do as you wish and make history and future out of mind, proud of your victory. Belajarlah bersungguh-sungguh adik, tanam azam untuk berjaya kerana ALLAH. InshaALLAH, ALLAH tidak mungkin akan mensia-siakan hambaNya. Yakinlah pada janji ALLAH.
 
Balas adik saya dengan nada yang gembira, “Wow, awesome words, baiklah abang adik akan cuba sedaya upaya adik belajar bersungguh-sungguh, demi mencapai kejayaan yang adik impikan.

Berdasarkan perbualan kami, antara saya dan adik saya, saya cuba untuk meyakinkan adik saya bahawa elakkan daripada membiarkan sifat cemburu yang membara menguasai diri dan mengubah cara memandang sesuatu dengan pandangan yang positif dan maju kehadapan.

Para pembaca yang dikasihi,

Sifat cemburu harus dimiliki oleh setiap manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Sebagai seorang mukmin seharusnya mempunyai sifat cemburu, kerana sifat cemburu merupakan sifat dasar yang harus dimiliki oleh seorang mukmin.

Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang mukmin itu pencemburu.” (HR Bukhari dan Muslim).

Selain itu, agak pelik jika manusia tiada daya cemburu, kerana sifat cemburu merupakan suatu sifat yang sangat baik jika kita dapat mengawalnya.

Sifat cemburu menjadi baik apabila, kita cemburu melihat sahabat kita yang kuat beribadat, sejurus memberi kecenderungan kepada kita untuk lebih kuat dalam beribadah kepada ALLAH SWT.

“Akhi, ana cemburulah melihat mutabaah anta yang begitu mantap berbanding ana yang tenggelam timbul mutabaahnya.” 

“InshaALLAH, ana akan berusaha untuk berlumba dengan anta dalam menjaga mutabaah”

Tetapi lain pula, jika kita sukar untuk mengawal sifat cemburu, bahkan yang lebih bahaya adalah hingga boleh memutuskan hubungan silaturrahim antara manusia, yang boleh menimbulkan perasaan hasad dengki, fitnah dan sebagainya.

Para pembaca yang dikasihi,
 
Minda menganalisa pandangan kita, tidak secara langsung kita dapat menafsirkan pandangan kita. Akan tetapi persoalannya, adakah penafsiran itu membawa kepada penafsiran positif atau negatif.

Penafsiran yang positif, memberikan impak baik yang maksima, seperti contoh kita semakin gigih berusaha berlumba-lumba dalam beribadah mahupun pelajaran, dek kerana cemburu melihat sahabat yang rajin beribadah dan belajar.

Perbuatan ini secara tidak langsung mencipta persaingan sihat, yang boleh memberikan hasil yang sangat baik jika diteruskan, InshaALLAH.

Namun, penafsiran yang negatif atas sifat cemburu, mengundang bahaya bila mana, minda kita mula memikirkan sesuatu rancangan atau bayangan yang tidak baik terhadap saingan. Lebih menakutkan lagi jika timbulnya perasaan hasad dengki dan pemikiran fitnah. Nauzubillah …

Oleh itu, para pembaca yang dikasihi,

Elakkanlah daripada membiarkan sifat cemburu yang membara menguasai diri dan ubahlah bara tersebut menjadi bara yang boleh membakar semangat untuk berdaya saing dengan lebih sihat demi mencapai kejayaan dan keredhaanNya.

Walaubagaimanapun, bukan mudah untuk kita membawa diri dan mengubah gaya pemikiran kita yang ada sekarang, namun setiap perubahan perlukan daya usaha yang kuat, tekun dan istiqamah.

Semoga apa yang disampaikan mempunyai ibrah yang dapat kita sama aplikasikan dalam kehidupan seharian.

Akhir kata, mari kita sama-sama berjuang mengawal kecemburuan dan menuju kejayaan dan keredhaanNya demi cinta Lillahi Ta’ala. Dalam baris ayat yang akhir ini, saya ingin memohon maaf jika ada kesalahan dan terkasar bahasa, segala yang baik itu dari ALLAH SWT dan yang buruk itu juga datang dari ALLAH SWT yang disandarkan kepada saya.

WALLAHu A'lam
Mohamad Ariffin bin Zulkifli
07:53 | Apr 16, 2013
Kolej AB, Universiti Malaysia Sabah | Malaysia
- Ikhlas Senyuman kerana ALLAH -

No comments:

Post a Comment

Komen dan kritikan membina amat dialu-alukan