بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg_pKHYc7gERCkJVyoUrYYMtf8c0o5lY3G_OC3zgpLwTEpjPZj54YPuhZiqrmWhbo6quP-1g8vR8mmOAVFZG6wEJoQdZTrTD6cYg4x5osk11UK40T6yOFFtOFvZgJCLQQ4QVRd-Y6ZTatOF/s640/Don't+Give+Up.png)
Ujian Jambatan Syurga Ilahi
Masuk tahun ini, sudah 13 tahun peristiwa hitam dalam
hidupku berlalu dalam kronologi norma kehidupan yang kulalui. Kisah penceraian
ibubapaku tidak mungkin kulupakan hingga akhir hayatku. Perpisahan ibubapa merupakan
kisah yang pedih dan perih bagi seorang anak yang sentiasa mengimpikan keluarga
bahagia yang indah dan damai disamping mempelajari gaya hidup Islam yang penuh
dengan ketenangan dan rahmat dari Ilahi.
Namaku Azman, dan biasa dengan panggilan Man, dan
kadang-kadang sering tersalah pandang, kerana terlalu ramai orang yang bernama
Man, seringkali aku tersengih sendirian, berasa lucu dengan diri sendiri. Waktu
penceraian ibubapaku berlaku, aku berumur 7 tahun, adikku yang kedua, Awin,
berumur 4 tahun dan adikku yang ketiga, Ain, berumur setahun. Saat itu, Ain
masih lagi inginkan susu dari ibunya.
Selepas kes penceraian ibu dan bapaku, aku dan kedua-dua
adikku dijaga oleh nenekku dikampung. Abahku pula, perlu terus tinggal dirumah
lama, untuk terus bekerja mencari rezeki buat kami sekeluarga. Kami terus
diarah untuk ditukarkan ke sekolah berdekatan dengan rumah nenekku. Nasibku
baik, kerana sekolah tersebut tidak jauh dari rumah nenekku, hanya 100 meter
dihadapan, maklumlah sekolah dalam taman perumahan. Hatiku mengucap,
“Alhamdulillah, sekolah tak jauh dari rumah, jalan kaki pun
boleh.”
Masa berlalu dengan begitu pantas, sedar-sedar sahaja aku
sudahpun berumur 15 tahun, tahun ini aku bakal menduduki peperiksaan PMR. Sudah
hampir 8 tahun, aku tidak bertemu dengan ibuku dan aku tidak tahu bagaimana
untuk menghubungi ibuku. Tiba-tiba Abah pulang kekampung dan memberitahu bahawa
ibuku ada menghubungi abahku, bertanya khabarku dan adik-adik. Hatiku
melompat-lompat keriangan, berbunga-bunga seperti kera mendapat bunga. Yelah,
sudah lama tidak bertemu ibu tercinta.
Mataku mula berkaca-kaca dan terkenang saat gembira kami
sekeluarga bersama ibu dan abahku. Aku tidak pernah terfikir untuk tahu punca
masalah penceraian mereka. Aku hanya ingin teruskan kehidupanku walaupun penuh
dengan ujian dan dugaan, kerana aku tahu ketentuan Ilahi adalah lebih hebat
dari segala-galanya.
Kadangkala, aku kecewa melihat rakan-rakan remaja yang
senasib denganku, mereka sepertinya menyalahkan permasalahan dalam keluarga
menjadi penyebab kepada sosialnya kehidupan mereka. Seringkali juga aku
terdengar beberapa ungkapan yang logik tetapi tidak wajar daripada mereka
seperti,
“Mak Bapa aku bukan kisah pasal aku keluar malam”
“Aku, kurang kasih sayang, jadi lepak ngan kawan-kawan je la
yang boleh buat aku happy”
Aku sering kali mendidik hati untuk berdikari, bersyukur dan senyum.
Apa yang ku fikirkan ialah, walaupun hidupku penuh dengan cabaran yang tidak
menentu, kurang kasih sayang dari ibubapaku, aku perlu terus hidup untuk
melukis dan mewarnai kembali ketenangan hidupku yang telah lama kelam.
Sentisa bermain dalam fikiranku, aku akan berusaha sedaya
mungkin untuk menggembirakan adik-adikku dan abahku. Kerana bagiku, walaupun
ibubapa bertanggungjawab mencorak akhlak anak-anak, tetapi jika anak-anak itu
yang menolak, anak itu perlu jawab sendiri dengan ALLAH, sebab itulah aku
termotivasi untuk terus berperilaku baik dalam mengikut cara hidup Islam,
supaya aku dapat mengubah norma kehidupanku yang kelam bersama-sama abah dan
adikku membina empayar baru dalam keinsafan dan keindahan Islam.
Dan aku sentiasa berpegang pada firman ALLAH SWT dalam
mencapai impianku,
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya
bergiliran, dari hadapan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah ALLAH.
Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah
keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH mengkehendaki
keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan
sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” [QS Al-Ra’du, 13:11]
Tentang ibu dan abahku, aku takut hatiku akan membenci salah
seorang daripada mereka, oleh itu aku serahkan hatiku pada ALLAH untuk
mengurusnya, kerana ALLAH jualah sebaik-baik pengurus. Daripada sakit hati dan
membenci terhadap mereka, lebih baik aku wujudkan perancangan untuk hidupku,
sebab aku sentiasa meningatkan diriku bahawa ALLAH membenci orang yang membenci
ibubapa mereka, tambahan pula mereka juga adalah hamba ALLAH SWT.
Aku pun mula, menghubungi ibuku dan bertanya khabar tetang
ibuku.
“Assalamualaikum” sapaku kepada ibu.
“Waalaikumsalam, ibu rindu sangat pada abang” ibuku
menjawab.
“Abang pun rindu pada ibu. Abang nak jumpa dan peluk ibu
kuat-kuat” aku menangis teresak-esak saat itu.
Sungguhpun, kata orang tak baik anak jantan menangis, tetapi
bagiku wajar untuk aku menangis atas kerinduanku pada ibuku. Saat aku menelefon
ibuku, aku hampir hilang kawalan, Alhamdulillah, abahku membantu aku dan
adik-adikku yang tak keruan sedih akibat kerinduan hati yang melampau. Aku mula
memujuk hati untuk bersabar dan mengingati ALLAH.
Firman ALLAH SWT,
“(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram
dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAHlah hati
menjadi tenteram.” [QS Al-Ra’du, 13:28]
Kini aku sudah berumur 19 tahun, atas usahaku juga
keberkatkan dan rahmat dari ALLAH,
tambahan lagi dengan dorangan yang kuat oleh ibu, abahku dan adik-adikku, aku
berjaya menuju menara gading yang menjadi salah satu impianku. Aku ditawarkan
mempelajari bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Sabah.
Aku mengambil pendekatan dan peluang ini sebagai batu
loncatan untuk aku terus maju dan maju hidup sebagai seorang hamba ALLAH yang
sentiasa menyerah diri padaNya.
WALLAHu A'lam
Bakal bersambung, InsyaALLAH.
> klik sini, untuk ke episod kedua (Mencari Cahaya Ilahi II)
Pengajaran, InsyaALLAH:
- Bersyukur dan bersabar atas ujian yang mendatang. Ada hikmah disebalik kejadian, hanya ALLAH yang maha mengetahui.
- Tidak menyalahkan orang lain, terhadap kesalahan dan kezaliman terhadap diri sendiri.
- Sentiasa bermotivasi dan mengingati ALLAH dalam melakukan sesuatu perkara.
Mohamad Ariffin Zulkifli
13:16 | Feb 09, 2013
USJ 1, Selangor, MY | Malaysia
- Ikhlas Senyuman kerana ALLAH -
assalamu'alaikum.... adakah cerpen yangh saudara tulis ini berdasarkan kisah benar...? terima kasih.
ReplyDeleteWalaikumsalam, InshaALLAH kisah yang benar... Ia juga datang dari pengalaman yang benar...
Delete